Klasifikasi Ilmu Menurut Imam al-Ghazali

KLASIFIKASI ILMU PENGETAHUAN MENURUT IMAM AL-GHAZALI

      Topik ini mula diberi perhatian oleh Imam al-Ghazali setelah beliau mendapati sebahagian daripada ilmuan Islam dari pelbagai bidang disiplin ilmu seperti ilmu kalam [tawhid], fiqh, tasawuf, tafsir dan hadith bercanggah pendapat tentang bidang-bidang ilmu yang wajib dikuasai oleh setiap individu Islam.

      Berdasarkan sabda Nabi Muhammad (s.a.w) yang bermaksud “Menuntut ilmu adalah fardhu yang diwajibkan ke atas setiap individu Islam”. Imam al-Ghazali menimbulkan persoalan tentang ilmu; adakah menuntut ilmu itu fardhu ‘ain ataupun fardhu kifayah atas individu Islam ?

      Berpandukan persoalan tersebut Imam al-Ghazali telah mengkalsifikasikan ilmu kepada dua bahagian utama iaitu :

a) Ilmu Mu‘amalah.

      Ilmu mu‘amalah dimaksudkan sebagai suatu ilmu yang diperolehi manusia samada melalui utusan Allah, akal [pembelajaran], pengalaman dan pendengaran. Pada asasnya ilmu tersebut [mu‘amalah] tiada sebarang perbezaan melainkan menerusi nama-nama khas yang dberikan kepadanya seperti ilmu fardhu ‘ain dan ilmu fardhu kifayah oleh para ilmuan Islam.

      Ilmu mu‘amalah menurut beliau terbahagi kepada dua bahagian iaitu :

1-      Ilmu fardhu ‘ain.

Ilmu fardhu ‘ain secara ringkas dimaksudkan sebagai ilmu tentang asas-asas agama Islam seperti mengucap syahadah, menunaikan sembahyang, mengeluarkan zakat, berpuasa dan menunaikan fardhu haji bagi yang berkemampuan. Ia merupakan suatu ilmu yang wajib dituntut oleh setiap individu Islam kerana menerusi ilmu pengetahuan tersebut individu Islam dapat melaksanakan segala tuntutan yang ditaklifkan samada berbentuk iktikad [kepercayaan], melaksanakan perintah dan menjauhi laranganNya. Ilmu fardhu ‘ain hanya diperolehi menerusi utusan Allah iaitu para rasulNya.

2-      Ilmu fardhu kifayah.

Ilmu fardhu kifayah menurut ajaran Islam merupakan suatu ilmu yang perlu dikuasai oleh sebahagian manusia yang mendiami sesebuah kawasan, daerah atau negeri. Hukum mempelajari ilmu fardhu kifayah berubah menjadi fardhu ‘ain apabila tiada seseorang pun di sesebuah kawasan, daerah atau negeri mengetahui tentang sesuatu ilmu seperti ilmu perubatan, pertanian, pembinaan, pengiraan dan sebagainya. Ilmu fardhu kifayah juga dimaksudkan sebagai ilmu yang berhubung kait dengan kehidupan sosial. Ilmu tersebut terbahagi kepada tiga bahagian iaitu :

i)                    Terpuji

Ilmu terpuji adalah ilmu yang bermanfaat kepada kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Menurut Imam al-Ghazali ilmu terpuji merangkumi dua kategori iaitu :

a)      Ilmu syariah.

Ilmu syariah hanya dapat diperolehi menerusi utusan Allah atau dalam kata lain ilmu yang tak tercapai oleh akal, pengalaman dan pendengaran untuk mengetahuinya seperti ilmu tentang hari kiamat.

b)      Ilmu umum.

Ilmu umum pula mampu diperolehi manusia menerusi akal (pembelajaran), pengalaman dan pendengaran seperti ilmu bahasa dan ilmu perubatan.

ii)                  Harus.

Ilmu yang harus dipelajari oleh manusia adalah seperti ilmu-ilmu kesusasteraan, sejarah dan sebagainya.

iii)                Tercela.

Ilmu tercela merupakan ilmu yang dilarang kepada manusia untuk mempelajarinya seperti ilmu sihir dan sebagainya.

b) Ilmu Mukasyafah.

      Ilmu mukasyafah merupakan suatu ilmu yang hanya diperolehi oleh manusia menerusi ilham yang diberikan oleh Allah kepadanya setelah melalui peringkat-peringkat tertentu dalam amalannya. Ilmu ini lebih dikenali di kalangan ahli-ahli tasawuf sebagai ilmu ladunni.

      Pembahagian ilmu-ilmu tersebut adalah berdasarkan kepada pemerhatian Imam al-Ghazali tentang :

a)      Sejauhmanakah ilmu-ilmu tersebut bermanfaat kepada manusia dari segi penggunaanya seperti ilmu bahasa.

b)      Sejauhmanakah ilmu-ilmu tersebut bermanfaat kepada kehidupan beragama manusia.

c)      Sejauhmanakah ilmu-ilmu tersebut bermanfaat kepada kehidupan manusia di dunia seperti ilmu perubatan dan pengiraan.

d)     Sejauhmanakah kesan ilmu-ilmu tersebut dalam memberi ilmu pengetahuan dan keseronokan kepada manusia seperti ilmu kesusasteraan dan ilmu sejarah.

      Menurut Imam al-Ghazali dasarnya sesuatu ilmu tidak tercela sehinggalah ilmu tersebut :

1-      Mendatangkan kemudaratan ke atas diri orang yang mempelajarinya serta orang lain.

2-      Mendatangkan lebih banyak kemudaratan kepada penuntutnya.

3-      Tidak memberikan sebarang faedah kepada penuntutnya mahupun orang lain.

      Berdasarkan kepada klasifikasi ilmu yang diberikan oleh Imam al-Ghazali ilmu fardhu ‘ain merupakan ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu Islam. Manakala lain-lain ilmu adalah berdasarkan kepada sejauhmanakah ilmu-ilmu tersebut bermanfaat kepada kehidupan individu ataupun masyarakat di dunia dan di akhirat.

About these ads

~ oleh ashabulmuslim di Jun 9, 2008.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: