HADITH PERTAMA

Hadith pertama

 

بسم الله الرحمن الرحيم

عن أمير المؤمنينَ أبي حفصٍ عُمَرَ بن الخطابِ رضى الله عنه قال سَمِعْتُ رسول اللهِ صلى الله عليه وسلم يقول : إنما الاعمالُ بالنيِّاتِ وإنما لِكُلِّ امْرِىءٍ مَا نَوَى فَمَنْ كَاتَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ وَرَسُوْلِهِ فَهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورسولِهِ ومن كانت هِجْرَتُهُ لِدُنْياَ يُصِيْبُهاَ أَوِ إمْرَأَةٍ يَنْكِحُهاَ فَهِجْرَتُهُ إِلىَ مَا هَجَرَ إِلَيْهِ. رواه البخاري و مسلم.

  Terjemahan al-Hadith

 

      Dari pemimpin orang mukmin, Abu Hafsin, ‘Umar bin al-Khatab (r.a) telah berkata: Aku telah dengar Rasulullah (s.a.w) bersabda : “Sesungguhnya setiap amal-amal perbuatan/pekerjaan tertakluk/tergantung dengan niat-niat dan bagi setiap seseorang berdasarkan kepada apa yang telah diniatkan, maka sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan RasulNya maka hijrahnya kerana Allah dan RasulNya dan sesiapa yang berhijrah kerana untuk mendapat keuntungan dunia atau disebabkan wanita untuk dikahwini maka hijrahnya kepada apa yang telah dihijrahnya. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim.

 

 Periwayatan al-Hadith

 

      Al-Tabrani dalam Mu’jam al-Kabir dengan sanad perawinya yang siqah meriwayatkan dari Ibn Mas’ud (r.a) telah berkata : Antara kami seorang lelaki telah meminang seorang wanita yang dikenali sebagai Ummu Qais telah enggan untuk berkahwin sehingga berlakunya peristiwa hijrah. Maka lelaki tersebut turut berhijrah dan mengahwininya. Maka kami menamakanya sebagai penghijarahan Ummu Qais.

 

 

Kepentingan al-Hadith 

      Kepentingan hadith tersebut tidak dapat disangkal kerana ia merupakan asas agama serta kebanyakan hukum-hukum berkisar padanya. Perkara tersebut jelas dilihat berdasarkan kata-kata ulama’ antaranya Abu Daud menegaskan: “Sesungguhnya hadith tersebut sebahagian dari Islam, kerana agama samada zahir iaitu amal atau batin iaitu niat”. Manakala Imam Ahmad dan al-Syafi’e pula menyatakan : “Termasuk dalam hadith tersebut satu pertiga ilmu kerana usaha hamba adalah kombinasi/gabungan antara hati, lidah dan anggota, maka niat dengan hati merupakan salah satu dari tiga kombinasi tersebut”. Justeru itu, kebanyakan ulama’ Islam gemar memulakan buku-buku karangan mereka dengan hadith tersebut bertujuan untuk memberi peringatan kepada penuntut ilmu supaya memperbetulkan niat mereka kerana Allah dalam menuntut ilmu serta melakukan kebaikan.

 

Pengajaran al-Hadith

      Sebanyak mana usaha dilakukan untuk mengkaji, menyelidik, menghimpun dan menjelaskan secara keseluruhan pengajaran dari hadith tersebut adalah mustahil kerana sabda Nabi Muhammad (s.a.w) merupakan petunjuk dan penjelasan kepada seluruh umat manusia berdasarkan perbedaan kemampuan mereka dari segi pemikiran, pendidikan serta ketamadunan. Dan antara pengajaran dari hadith tersebut adalah dari sudut :-  

 

Akidah

      Hadith tersebut menetapkan bahawa penerimaan ketaatan secara asas tertakluk kepada keikhlasan niat terhadap Allah. Firman Allah dalam Surah al-Bayyinah ayat 5 menjelaskan tentang bentuk ibadah atau amalan yang perlu dilaksanakan oleh hambaNya :-

 

وَماَ أُمِرُوْا إِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ حُنَفَاءَ

Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadah kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid.

 

      Dan juga firmanNya dalam Surah al-Zumar ayat 2 dan 3 menjelaskan hal tersebut :-

فَاعْـبُدِ اللهَ مُخْلِصاً لَّهُ الدِّيْنَ أَلاَ للهِ الدِّيْنُ الْخَالِصُ

Maka sembahlah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan (ibadah) kepadaNya. Ingatlah, hanya kepunyaan Allah agama yang suci (dari syirik).

 

      Justeru itu, sifat riya’ dalam ibadah adalah ditegah oleh Allah dan RasulNya. Sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) menegaskan perbuatan riya’ sebagai perbuatan syirik kecil dan kesanya amat ditakuti akan menimpa umatnya di akhirat kelak.

عن مَحْمُوْدِ بْنِ لَبِيْدٍ قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إِنَّ أَخْوَفَ ماَ أَخاَفُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ اْلاَصْغَرُ قالوا : وَمَا الشِّرْكُ اْلآَصْغَرُ يا رسول الله ؟ قال الرِّياَءُ، إن الله تبارك وتعالى يقول يَوْمَ تُجَازَى الْعِبَادُ بِأَعْمَاِلهِمْ إِذْهَبُوْا إِلىَ الَّذِيْنَ كُنْتُمْ تُرَاءُوْنَ بِأَعْمَالِكُمْ فِيْ الدُّنْياَ فَانْظُرُوْا هَلْ تَجِدُوْنَ عِنْدَهُمْ جَزاَءً. رواه أحمد

 

Dari Mahmud bin Labid berkata: Sabda Rasulullah (s.a.w) : Sesungguhnya apa yang paling aku takuti atas kamu adalah syirik kecil. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah (s.a.w) apakah syirik kecil ? Rasulullah menjawab: Riya’. Sesungguhnya Allah (s.w.t) berfirman pada hari pembalasan amal perbuatan mereka, pergilah kepada golongan yang kamu tunjuk-tunjukan amal perbuatan kamu di dunia dan lihatlah adakah kamu akan memperolehi balasan dari sisi mereka ?.

   

      Sesungguhnya setiap amalan yang dilakukan bertujuan untuk mendapat pujian dari manusia atau untuk memperolehi pujian manusia dan pahala dari Allah merupakan amalan sia-sia berdasarkan sabda Rasulullah :-

 عن أبى هريرة رضى الله عنه أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال، قال الله عز وجل : أَناَ أَغْنَى الشُّرَكاَءِ عَنِ الشِّرْكِ فَمَنْ عَمِلَ لِيْ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيْهِ غَيْرِى فَأَناَ مِنْهُ بَرِيْءٌ وَهُوَ لِلَّذِي أَشْرَكَ. رواه إبن ماجة.

Dari Abu Hurairah (r.a) sesungguhnya Rasulullah (s.a.w) berkata: Allah (s.w.t) telah berfirman : Aku adalah sekutu yang paling kaya dari pensekutuan, maka sesiapa yang melakukan amalan mensekutukan padanya selain dariKu. Maka Aku suci darinya.

 

      Justeru itu, keikhlasan merupakan asas agama sebagaimana dijelaskan Allah menerusi firmanNya dalam Surah al-Zumar ayat 14:

قُلِ اللهَ أَعْـبُدُ مُخْلِصًا لَّهُ دِيْنِي

Katakanlah lagi: “Allah jualah yang aku sembah dengan mengikhlaskan amalan ugamaku kepadaNya.

 

      Oleh kerana itu, Allah (s.w.t) mencela golongan menunjuk-nunjuk dengan sembahyang mereka dalam firmanNYa menerusi Surah al-Ma’un ayat 4 – 6:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّيْنَ اَلَّذِيْنَ هُمْ عَنْ صَلاَتِهِمْ سَاهُوْنَ. اَلَّذِيْنَ هُمْ يُرَاؤُوْنَ

(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang -(laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya; (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya),

 

     Dan firmanNya dalam Surah al-Nisa’ ayat 142 menjelaskan perbuatan riya’ merupakan sifat golongan munafik yang suka menunjuk-nunjuk dengan sembahayang mereka:

إِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ يُخَادِعُوْنَ اللهَ وَهُوَخَدِعُهُمْ وَإِذَا قَامُوْ إِلىَ الصَّلاَةِ قَامُوْا كُسَالَى يُرَاؤُوْنَ النَّاسَ وَلاَ يَذْكُرُوْنَ اللهَ إِلاَّ قَلِيْلاً

Sesungguhnya orang-orang munafik itu melakukan tipu daya (terhadap ugama) Allah (dengan perbuatan pura-pura beriman sedang mereka kafir pada batinnya), dan Allah pula tetap membalas tipu daya mereka (dengan membiarkan mereka dalam keadaan munafik). Mereka pula apabila berdiri hendak sembahyang, mereka berdiri dengan malas. Mereka (hanya bertujuan) riak (memperlihatkan sembahyangnya) kepada manusia (supaya disangka bahawa mereka orang yang beriman), dan mereka pula tidak mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang) melainkan sedikit sekali (jarang-jarang).

 

      Sebagaimana juga, Allah (s.w.t) telah mencela golongan yang menunjuk-nunjuk (riya’) dengan derma dan sedekah mereka. Firman Allah (s.w.t) dalam Surah al-Baqarah  ayat 264

ياأيها الذين أمنوا لاَتُبْطِلُوْا صَدَقَاتِكُمْ بِالْمَنِّ وَاْلاَذَى كَالَّذِيْ يُنْفِقُ مَالَهُ رِئَاءَ النَّاسِ وَلاَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَاْلَيوْمِ اَلاَخِرِ فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ صَفْوَانٍ عَلَيْهِ تُرَابٌ فَأَصَابَهُ وَاِبلٌ فَتَرَكَهُ صَلْداً لاَيَقْدِرُوْنَ عَلىَ شَيْءٍ مِّمَّا كَسَبُوْا وَاللهُ لاَ يَهْدِى الْقَوْمَ الْكَافِرْينَ

Wahai orang-orang yang beriman! Jangan rosakkan (pahala amal) sedekah kamu dengan perkataan membangkit-bangkit dan (kelakuan yang) menyakiti, seperti (rosaknya pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riak), dan ia pula tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi). (Demikianlah juga halnya orang-orang yang kafir dan riak itu) mereka tidak akan mendapat sesuatu (pahala) pun dari apa yang mereka usahakan. Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberi petunjuk kepada kaum yang kafir.

 

      Pemurniaan akidah dengan mengikhlaskan segala bentuk ibadah khusus dan umum kepada Allah (s.w.t) perlu diberi perhatian bagi menjamin segala amalan diterima Allah seterusnya memperolehi kebaikan hidup di dunia dan di akhirat. 

 

Fiqh

 

      Niat di kalangan ahli fiqh bererti membezakan adat dari ibadat, juga membezakan sesuatu ibadat dari ibadat lain seperti mandi kadangkala bertujuan untuk kebersihan atau mandi sunat jumaat atau mandi junub atau selainya.

      Niat merupakan asas kepada ibadat-ibadat dalam Islam. Lantaran itu, para ulama’ bersependapat bahawa ibadat tertentu seperti sembahyang, puasa dan haji tidak sah melainkan dengan niat.

      Tempat niat adalah hati. Apabila berniat seseorang yang bersembahyang atau berpuasa dalam hati tanpa melafazkannya dengan perkataan adalah memadai menurut persetujuan para ulama’. Akan tetapi para ulama Islam bercanggah pendapat pada : Adakah niat harus dilafazkan secara lisan atau sebaliknya ? Sebahagian ulama’ dari aliran Abu Hanifah, al-Syafi’e dan Ahmad menyatakan harus kerana ia lebih berkesan. Manakala segelintir ulama’ dari aliran Imam Malik dan Ahmad menjelaskan tidak harus niat dilafazkan secara lisan bahkan adalah bid’ah atas beberapa sebab antaranya :

a)    Tiada nas dari Rasulullah (s.a.w) atau para sahabat bahawa Rasulullah (s.a.w) melafazkan niat secara lisan dalam sembahyang, bersuci dan berpuasa.

b)   Kerana tempat niat di hati. Apabila dilafazkan secara lisan seolah-olah ia menjadi suatu keazaman.

c)    Kerana persetujuan ulama tidak mengharuskan niat dilafazkan secara lisan.

      Sabda Raslullah (s.a.w) وَإِنَّماَ لِكُلِّ إمْرِىٍء مَا نَوىَ” menunjukan ibdadat tidak harus digantikan atau diwakilkan kepada orang lain kecuali dalam ibadat zakat, korban dan haji bagi orang yang telah meninggalkan wasiat sebelum meninggal dunia.

      Seseorang yang membatalkan niatnya sewaktu mengerjakan ibadat seperti wudu’, sembahyang dan puasa maka ibadat tersebut terbatal. Manakala jika seseorang membatalkan niatnya sesudah menunaikan atau mengerjakan ibadat seperti sembahyang dan berpuasa maka perbuatanya tidak memberi kesan kepada ibadat yang telah dilaksanakan.

      Dalam bab sumpah niat menentukan keadaan berikut :-

a)    Sumpah Lagha.

Ibnu Abbas menjelaskanya sebagai ungkapan harian biasa (di kalangan bangsa Arab) dalam pertuturan bertujuan mengukuhkan kata-kata mereka. Sumpah lagha tidak dikenakan kafarah atau denda kepada pengucapnya kerana ia tidak bertujuan untuk bersumpah.

b)   Sumpah Pengecualian.

Merupakan ungkapan sumpahan yang mengandungi perkataan pengecualian seperti “Demi Allah aku akan datang pada hari Jumaat insya’ Allah” dengan syarat ungkapan pengecualian “insya’ Allah” adalah dengan niat pengecualian bukan bertujuan untuk memperolehi keberkatan.

c)    Sumpah Benar.

Merupakan sumpah yang dilakukan dengan niat dan penuturnya akan dikenakan kafarah atau denda jika mengingkari sumpahnya atau didapati berbohong dengan sumpahnya.

      Niat dalam bab talaq diambil kira apabila lafaz talaq diucapkan secara kinayah atau kiasan berbeda dengan lafaz talaq sarih yang tidak memerlukan kepada niat.

      Berdasarkan keterangan-keterangan tersebut di atas disimpulkan bahawa niat berperanan dalam membedakan antara suatu ibadat dengan ibadat lain. Di samping itu, niat juga menentukan sesuatu ibadat diterima atau tidak menurut hukum syara’ atau terhadap hukum yang terbit hasil niat seseorang.

  

   Kemasyarakatan

 

      Lafaz perkataan إمرىء dalam sabda Nabi (s.a.w)

 ” وَإِنَّمَا لِكُلِّ إمْرِىءٍ مَا نَوَى” merangkumi lelaki dan wanita tanpa ada perbedaan di antara dua kaum tersebut dari segi ibadat dan pahala di sisi Allah (s.w.t) sebagaimana dijelaskan Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 124 :

وَمَنْ يَعْمَلْ مِنَ الصَّالِحَاتِ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُوْلَئِكَ يَدْخُلُوْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يُظْلَمُوْنَ نَقِيْراً

Sesiapa yang mengerjakan amal salih samada lelaki atau perempuan dan ia seorang yang beriman. Maka mereka akan dimasukan ke dalam syurga dan tidak dizalimi atau dianayai walau sedikit pun.

 

      Selain itu, Allah menjelaskan peranan penting yang harus dipikul oleh kaum wanita di dunia ini di samping kaum lelaki berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Taubah ayat 71:

وَاْلمُؤْمِنُوْنَ وَاْلمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِياَءُ بَعْضٍ يَأْمُرُوْنَ بِالْمَعْرُوْفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيْمُوْنَ الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوْنَ الزَّكاَةَ وَيُطِيْعُوْنَ اللهَ وَرَسُوْلَهُ أُوْلَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللهُ إِنَّ اللهَ عَزِيْزٌ حَكِيْمٌ

Dan orang-orang yang beriman lelaki dan wanita sebahagian mereka adalah menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf dan mencegah yang mungkar, mendirikan sembahyang, menunaikan zakat dan taat kepada Allah dan rasulNya. Mereka akan dirahmati Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

 

      Islam turut mengiktiraf hak wanita atas harta bersandarkan firman Allah dalam Surah al-Nisa’ ayat 32:

لِلرِّجَالِ نَصِيْبٌ مِّمَّا اكْتَسَبُوْا وَلِلنِّسَاءِ نَصِيْبٌ مِّمَّا اكْتَسَبْنَ

Bagi lelaki ada bahagian dari apa yang mereka kerjakan dan bagi wanita ada bahagian dari apa yang mereka kerjakan

      Berbeda dengan keadaan jahiliyah awal yang menganggap wanita sebagai hiasan dan pemuas nafsu kepada kaum lelaki. Manakala sesetengah agama menganggap wanita lebih buruk atau teruk dari wabak penyakit, kematian, neraka, racun dan ular sebagaimana terkandung dalam ajaran agama Hindu.

      Jahiliyah moden yang melaungkan hak hak kebebasan dan persamaan taraf antara wanita dan lelaki tetapi tidak melaksanakan apa yang dilaung-laungkan sebagaimana berlaku di England di mana Raja Henry ke lapan telah mengharamkan ke atas wanita membaca dan mengkaji kitab suci mereka (Bible). Dan dalam undang-undang am Perancis yang tidak membenarkan wanita mewarisi harta yang ditinggalkan oleh suaminya tanpa kebenaran bertulis dari suaminya.

      Sesungguhnya Islam memelihara serta mengiktiraf peranan dan hak hak wanita dalam semua lapangan kehidupan di dunia ini. Justeru itu, persoalan kebebasan dan hak persamaan taraf di antara wanita dan lelaki tidak perlu dipersoalkan oleh masyarakat Islam.

 

Politik

 

 

      Ungkapan Nabi Muhammad (s.a.w)

 فَمَنْ كَاتَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ وَرَسُوْلِهِ  

menjelaskan bahawa demi Islam segala kepentingan yang berhubung atau bersangkutan dengan negara, bangsa, keluarga dan harta benda mesti diketepikan oleh umat Islam.

       Justeru itu, segala perjuangan atas nama negara, bangsa, ekonomi dan masyarakat tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan dakwah Islam serta mempraktikan sistem perundangan Islam.

       Bagaimana untuk mempraktikan sistem perundangan Islam dalam sesebuah negara yang mempunyai pelbagai kaum ?

       Firman ALLAH dalam Surah al-Mu’minun ayat 115:-

أَفَحَسِبْتُمْ أَنَّماَ خَلَقْنَكُمْ عَبَثاً وَأَنَّكُمْ إْلَيْناَ لاَ تُرْجَعُوْنَ

Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami?

 

       Secara disedari atau tanpa disedari persoalan tersebut seolah-olah menyatakan bahawa tentang kebodohan dan kesalahan ALLAH (maha suci ALLAH dari apa yang mereka sifatkan) kerana mewujudkan pelbagai etnik suku kaum di dunia ini. Mereka seolah-olah mempersoalkan serta mempersendakan: “Ya ALLAH mengapakah Engkau menjadikan penduduk bumi ini dari pelbagai etnik suku kaum menyebabkan kami sukar untuk mempraktikan hukum-hukum yang telah Engkau tetapkan”.

      Lantaran itu, sebarang alasan untuk mengetepikan segala tuntutan dan kepentingan Islam tidak boleh diterima sama sekali kerana sistem sistem Islam telah dipraktikan pada zaman rasulullah (s.a.w) di Madinah yang mempunyai kepelbagaian etnik suku kaum. Begitu juga yang turut berlaku dalam sejarah pemerintahan Islam pada zaman Ummaiyah, Abbasiyah dan Othmaniyah.

       Ungkapan tersebut ( فَمَنْ كاَنَتْ هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ ) turut menerangkan bahawa berhijrah meninggalkan golongan yang melakukan maksiat, kejahatan, kezaliman, penipuan, kefasikkan, kekufuran dan seumpamanya adalah sesuatu yang dituntut oleh Islam berdasarkan firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’ ayat 140:

  وَقَدْ نَزَّلَ عَلَيْكُمْ فِي الْكِتاَبِ أَنْ إِذاَ سَمِعْتُمْ آياَتِ اللهِ يُكْفَرُ بِهاَ وَيَسْتَهْزَأُ بِهاَ فَلاَ تَقْعُدُوْا مَعَهُمْ حَتىَّ يَخُوْضُوْا فِى حَدِيْثٍ غَيْرِهِ إِنَّكُمْ إِذاً مِثْلُهُمْ إِنَّ اللهَ جَامِعُ الْمُناَفِقِيْنَ وَالْكاَفِرِيْنَ فِى جَهَنَّمَ جَمِيْعاً

 

Dan sesungguhnya Allah telahpun menurunkan kepada kamu (perintahNya) di dalam Kitab (Al-Quran), iaitu: apabila kamu mendengar ayat-ayat keterangan Allah diingkari dan diejek-ejek (oleh kaum kafir dan munafik), maka janganlah kamu duduk (bergaul) dengan mereka sehingga mereka masuk kepada memperkatakan soal yang lain; kerana sesungguhnya (jika kamu melakukan yang demikian), tentulah kamu sama seperti mereka. Sesungguhnya Allah akan menghimpunkan sekalian orang manufik dan orang kafir di dalam neraka jahannam.

 

       Justeru itu, umat Islam tidak boleh memberi sebarang bentuk sokongan, bantuan, pertolongan dan apatah lagi untuk melantik atau mengambil golongan yang melakukan maksiat, penipuan, kezaliman, kefasikkan, kekufuran dan seumpamanya sebagai pemimpin atau pemerintah.

       Adakah kita mahu bersama-sama mereka di dalam neraka pada hari akhirat kelak ? Atau penuh dengan alasan-alasan untuk membesakan diri dari azab ALLAH sedangkan semasa hidup di dunia kita mempunyai pilihan. Renungilah firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’ ayat 97:

إِنَّ الَّذِيْنَ تَوَفَّاهُمُ اْلمَلاَئِكَةُ ظَالِمِى أَنْفُسِهِمْ قَالُوْا فِيْمَ كُنْتُمْ قاَلُوْا كُنَّا مُسْتَضْعَفِيْنَ فِي الآرْضِ قَالُوْا أَلمَ ْتَكُنْ أَرْضُ اللهِ وَاسِعَةً فَتُهَاجِرُوْا فِيْهاَ فَأُوْلَئِكَ مَأْوَاهُمْ جَهَنَّمُ وَساَءَتْ مَصِيْراً.

Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai ugama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi: “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali.

 

       Ungkapan tersebut ( فَمَنْ كاَنَتْ هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ ) turut menghuraikan bahawa tiada tolak ansur atau kompromi dengan mana-mana pihak dalam soal akidah Islam. ALLAH (s.w.t) telah menjelaskan dalam Surah al-Kafirun ayat 1-6:

قُلْ يَأَيُّهَا الْكَافِرُوْنَ، لاَ أَعْبُدُ مَا تَعْبُدُوْنَ، وَلاَ أَنْتُمْ عَابِدُوْنَ مَا أَعْبُدُ، وَلاَ أَناَ عَابِدٌ مَّا عَبَدْتُمْ، وَلاَ أَنْتُمْ عَابِدُوْنَ مَا أَعْبُدُ، لَكُمْ دِيْنُكُمْ وَلِيَ دِيْنِ.  

 

Katakanlah (wahai Muhammad): “Hai orang-orang kafir! “Aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah. “Dan kamu tidak mahu menyembah (Allah) yang aku sembah. “Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. “Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. “Bagi kamu ugama kamu, dan bagiku ugamaku”.

 

       Oleh itu, tiada penggubal undang-undang yang sama taraf dengan ALLAH untuk menentukan sistem perundangan yang perlu diikuti oleh manusia di dunia. Dan tiada buku-buku perlembagaan dan perundangan yang sama taraf dengan al-Quran atau melebihi al-Quran.

       Ungkapan tersebut ( فَمَنْ كاَنَتْ هِجْرَتُهُ إِلىَ اللهِ وَرَسُوْلِهِ ) turut menjelaskan bahawa segala tujuan dan amalan mesti dilakukan untuk ALLAH dan kerana ALLAH. Dengan itu, pemerintah Islam dalam melaksanakan atau menunaikan tanggung jawabnya mestilah bebas dari tuntutan serta tujuan hawa nafsunya, hartanya (ekonomi), keluarganya dan partinya sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Abu Bakar (r.a) sewaktu memegang jawatan sebagi khalifah Islam pertama: “Taatilah aku selama mana aku mentaati ALLAH” dalam urusan kamu”.

 

 

 Ekonomi

 

وَقُلِ اعْمَلُوْا فَسَيَرَى اللهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُوْلُهُ وَاْلمُؤْمِنُوْنَ، وَسَتُرَدُّوْنَ إِلَى عَالمَ الْغَيْبِ وَالشَّهاَدَةِ فَيُنَبِّئُكُمْ بِماَ كُنْتُمْ تَعْمَلُوْنَ.

Dan katakanlah (wahai Muhammad): Beramalah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan”. Surah al-Taubah ayat 105.

 

       Keistimewaan sistem ekonomi Islam dari lain-lain sistem ekonomi adalah kerana ia diasaskan atas landasan akhlak yang menggalakkan umat Islam untuk bekerja dengan tekun, gigih dan jujur kerana setiap usaha yang dilaksanakan adalah tidak bertujuan (niat) semata-mata untuk mendapatkan harta kekayaan bahkan untuk memperolehi keredhaan dan keberkatan ALLAH serta memenuhi tuntutan fardu kifayah.    

 

 Perundangan

 

       Dari segi perundangan hukuman dijatuhkan adalah berdasarkan kepada bukti-bukti yang diperolehi dan dari keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi kejadian dan hakim tidak boleh menjatuhkan atau menetapkan hukuman berdasarkan kepada niat.

 

 Akhlak

 

       Rasulullah (s.a.w) telah mengajar kepada umat Islam satu bentuk atau contoh akhlak yang mulia dalam menghormati dan memelihara perasaan orang lain. Justeru itu, Rasulullan (s.a.w) tidak menjelaskan atau menyebutkan nama lelaki yang berhijrah ke Madinah kerana ingin mengahwini seorang yang wanita yang turut berhijrah dalam hadith tersebut.

 

 Dakwah

 

       Dalam menjalankan usaha dakwah, para pendakwah sepatutnya harus tahu membezakan di antara perkara yang lebih penting dari yang kurang penting. Memurnikan serta mengukuhkan akidah Islam di kalangan umat Islam adalah lebih utama dari menggalakkan umat Islam menyimpan janggut, memakai serban, jubah dan sebagainya.

        Usaha menyebarkan dakwah mestilah berlandaskan kepada manhaj atau metod yang telah ditetapkan oleh ALLAH dan RasulNya. Justeru itu, para pendakwah tidak boleh memilih manhaj atau kaedah yang bertentangan dengan syariat Islam walaupun ia bertujuan untuk menyebar dan menyampaikan dakwah Islamiyah (Tujuan tidak menghalalkan cara).


Kesimpulan 

      

       Penerimaan atau penolakkan sesuatu amalan di sisi ALLAH adalah berasaskan kepada keikhlasan niat seseorang kepada ALLAH. Selain itu, keikhlasan niat seseorang dalam melakukan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam adalah ditolak sama sekali.

 

 

 

 

 

~ oleh ashabulmuslim di Mei 29, 2008.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: