لا إله إلا الله

بسم الله الرحمن الرحيم

لا إله إلا الله

       Segala puji-pujian bagi ALLAH yang telah menganugerahkan nikmat Islam. Selawat serta salam ke atas Nabi Muhammad (s.a.w) dan ahli keluarganya serta para sahabat dan yang menurut jejak langkah mereka sehingga hari kemudian.

Pengenalan.

       Kalimah syahadah atau kalimah tauhid merupakan kunci syurga berdasarkan kepada sabda Rasulullah (s.a.w) sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Muslim dalam sahihnya:-

من مات وهو يعلم أنه لا إله إلا الله دخل الجنة

“Sesiapa yang mati dan dia mengetahui bahawa tiada tuhan yang disembah melainkan ALLAH masuk syurga”

      Ini adalah kerana kalimah tersebut merupakan asal dan asas agama yang mana dibina atasnya rukun-rukun agama Islam yang lain. Justeru itu, adalah mustahil jika kalimah tersebut hanya perlu diucapkan secara lisan sahaja. Bahkan perlu diyakini dengan tanpa ada sedikit pun keraguan dan seterusnya perlu dipraktikan sebagai manhaj kehidupan.

Kalimah Tauhid Di Antara Penafian Dan Penerimaan.

       Perkataan “ لا إله إلا الله ” memberi erti bahawa “Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan ALLAH”. Pengertian tersebut mengandungi dua aspek asas yang utama iaitu:-

Pertama: Penafian.

       Huruf nafi iaitu “ لا ” yang terkandung dalam kalimah tauhid adalah untuk menafikan:-

a)      Mengambil atau menjadikan sesuatu sebagai tuhan untuk disembah. Samada bentuk penyembahan tersebut berupa:-

i-                    Kepercayaan. Mempercayai kepada tuhan-tuhan atau sesuatu selain ALLAH mampu memberi rezeki, mendatangkan kemudharatan dan sebagainya.

ii-                  Ibadah. Melakukan sebarang bentuk penyembahan dan pemujaan terhadap tuhan-tuhan atau sesuatu selain ALLAH dengan bertujuan untuk mendapatkan perlindungan, keberkatan dan sebagainya.

iii-                Pemikiran. Berfikiran bahawa wujud tuhan-tuhan atau sesuatu selain ALLAH yang berkuasa mempengaruhi buruk atau baik sesuatu perkara.

iv-                Perbuatan. Melaksanakan atau meninggalkan sesuatu tindakan atau gerak kerja dengan tujuan untuk mengelakkan kemudharatan atau memperolehi kebaikkan hasil dari perbuatan tersebut dari tuhan-tuhan atau sesuatu selain ALLAH.

v-                  Pertuturan. Memuji dan memuja tuhan-tuhan atau sesuatu selain ALLAH dengan tujuan untuk memperolehi kebaikkan dan menjauhi kemudharatan.

       Justeru itu, segala bentuk kepercayaan dan ibadah mestilah dilaksanakan hanya kerana ALLAH (s.w.t) semata-mata. Sebarang bentuk penyekutuan akan menyebabkan segala amalan menjadi sia-sia. Firman ALLAH dalam Surah al-An‘ām ayat 88:

وَلَوْ أَشْرَكُوْا لَـحَبِطَ عَنْهُمْ مَّا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ

“Seandainya mereka mempersekutukan ALLAH, nescaya lenyaplah dari mereka amalan yang telah mereka kerjakan”.

       Hanya ALLAH yang layak disembah kerana tuhan-tuhan selain ALLAH merupakan sesuatu yang palsu. Renungilah firman ALLAH dalam Surah al-Haj ayat 62:

ذَلِكَ بِأَنَّ اللهَ هُوَ الْحَقُّ وَأَنَّ مَا يَدْعُوْنَ مِنْ دُوْنِهِ هُوَ البَاطِلُ وَأَنَّ اللهَ هُوَ العَلِيُّ الْكَبِيْرُ

“Yang demikian itu, adalah kerana sesungguhnya ALLAH. Dialah (Tuhan) yang hak dan sesungguhnya apa sahaja yang mereka seru selain dari ALLAH itulah yang batil (palsu). Dan sesungguhnya ALLAH Maha Tinggi lagi Maha Besar”.

b)      Mempercayai atau menyakini bahawa wujudnya sekutu bagi ALLAH atau sesuatu yang mempunyai kuasa seumpama dan setanding dengan kuasa ALLAH. Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 22:

فَلاَ تَجْعَلُوْا للهِ أَنْدَاداً وَاَنْتُمْ تَعْلَمُوْنَ

Ibn Kathir sewaktu mentafsirkan ayat ini menjelaskan: “Jangan kamu sekutukan ALLAH dengan sesuatu pun dari sekutu-sekutu yang tidak memberi sebarang manfaat dan kemudharatan sedangkan kamu mengetahui bahawa tiada tuhan yang memberi rezeki selain ALLAH (s.w.t)”.

Ibn Abbas menjelaskan: “Sesungguhnya perkataan seumpama; “Kalaulah bukan kerana ALLAH dan kerana si polan sudah tentu aku gagal untuk mendapatkan barang tersebut”. Merupakan syirik kecil berdasarkan kepada tegahan Rasulullah terhadap seorang lelaki yang berkata : “Apa yang dikehendaki ALLAH dan kamu (Rasulullah)”. Nabi Muhammad bersabda: “Adakah engkau menjadikan aku sebagai sekutu ALLAH ?, Bahkan, hendaklah kau katakan apa yang dikehendaki ALLAH sahaja”.

Kadangkala penyekutuan terhadap ALLAH wujud dalam bentuk tersembunyi seperti mengharapkan bantuan dan pertolongan dari selain ALLAH, perasaan takut terhadap selain ALLAH, kepercayaan yang memudharatkan dan yang memanfaatkan bukan berpunca dari ALLAH dan mencintai dan mengasihi sesuatu sehingga sanggup tunduk, patuh, melaksanakan segala permintaannya dan sebagainya melebihi kepatuhan terhadap ALLAH. Firman ALLAH (s.w.t) dalam Surah al-Baqarah ayat 165:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَتَّخِذُ مِنْ دُوْنِ اللهِ اَنْداَداً يُحِبُّونَهُمْ كَحُبِّ اللهِ وَالَّذِيْنَ آمَنُوْا اَشَدُّ حُبّاً للهِ

“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain ALLAH, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai ALLAH. Adapun orang-orang yang beriman amat sangat cintanya terhadap ALLAH”.

c)      Thagut berasal dari bahasa Arab yang bermaksud melampaui batas dari segi bahasa. Imam Malik mendefinasikan sebagai “semua yang disembah selain ALLAH”. Ibn Qayyim menjelaskan “kepatuhan dan pengabdian kepada selain ALLAH adalah thagut”. Melaksanakan atau menjalankan hukuman selain dari hukuman yang telah ditetapkan oleh ALLAH adalah thagut”.

Al-Sheikh al-Maududi menjelaskan: “Mana-mana negara, kerajaan, pemerintah atau pemimpin yang melampaui batas terhadap ALLAH, melaksanakan perundangan yang bertentangan dengan syariat Islam adalah thagut. Justeru itu, mana-mana individu yang menyokong serta menerima negara, kerajaan, pemerintah atau pemimpin seumpama itu adalah dianggap sebagai ibadah terhadap tahgut”.

Sesungguhnya ALLAH telah mewajibkan ke atas setiap umat Islam agar mengkufuri atau mengingkari thagut sebagaimana dijelaskan dalam Surah al-Nahl ayat 36:

 

وَلَقَدْ بَعَثْناَ فِي كُلِّ أُمَّةٍ رَسُوْلاً اَنِ اعْبُدُوا اللهَ وَاجْتَنِبُوْا الطَّاغُوْتَ

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyeru) Sembahlah ALLAH dan jauhilah thagut”.

Al-Sheikh Muhammad Bin Abdul Wahab menjelaskan sifat kufur terhadap thagut adalah mengingkarinya, membencinya, meninggalkanya dan memeranginya.

Bentuk-bentuk thagut adalah terlalu banyak dan diketuai oleh lima kelompok iaitu:-

i-                    Syaitan yang menyeru manusia supaya menyembah selain ALLAH.

ii-                  Pemerintah zalim yang meminda-minda atau mengubah-ngubah hukum ALLAH.

iii-                Yang berhukum selain dari hukuman yang telah diturunkan oleh ALLAH.

iv-                Tukang tilik nasib.

v-                  Yang menyembah selain ALLAH.

 

d)     Yang menganggap manusia sebagai tuhan dengan mematuhi segala suruhan dan laranganya walaupun bertentangan dengan apa yang telah ditetapkan oleh ALLAH. Firman ALLAH dalam mengkisahkan tentang golongan tersebut dalam Surah al-Taubah ayat 31:

اِتَّخَذُوا اَحْباَرَهُمْ وَرُهْبَانَهُمْ اَرْباَباً مِنْ دُوْنِ اللهِ

“Mereka menjadikan orang-orang alim dan rahib-rahib mereka sebagai tuhan selain ALLAH”.

Dalam mentafsirkan ayat tersebut Rasulullah (s.a.w) menjelaskan perbuatan orang-orang alim dan rahib adalah menghalakan yang haram dan mengharamkan yang halal dan para pengikutnya mematuhinya dan begitulah bentuk ibadah para pengikut tersebut terhadap orang-orang alim dan para rahib mereka.(al-Tarmizi).

 

 

Kedua: Penerimaan (Pengakuan).

      Aspek kedua yang terkandung dalam kalimah tauhid adalah penerimaan (pengakuan) yang merangkumi:-

a)      Tauhid Rububiyah atau dikenali sebagai “Tauhid Iktiqad al-‘Ilmi” (teori) iaitu mengesakan ALLAH (s.w.t) dari segi penciptaan dan pentadbiran dalam semua perkara seperti dalam urusan memberi rezeki, mentadbir alam ini, menghidupkan serta mematikan dan sebagainya. Firman ALLAH (s.w.t) dalam Surah al-‘Araf ayat 54:

 

أَلاَ لَهُ الْخَلْقُ وَاْلأَمْرُ

“Ingatlah, menciptakan dan memerintah hanyalah hak ALLAH”

Bukti-bukti yang menunjukan tentang keesaan ALLAH dalam urusan penciptaan dan pentadbiran telah dijelaskan dalam al-Quran. Antaranya firman ALLAH dalam Surah al-Thur ayat 35,36:-

 

أَمْ خُلِقُوْا مِنْ غَيْرِ شَيْءٍ أَمْ هُمُ الْخَالِقُوْنَ، أَمْ خَلَقُوْا السَّمَوَاتِ وَاْلأَرْضَ بَلْ لاَ يُوْقِنُوْنَ

“Apakah mereka diciptakan tanpa sesuatu pun ataukah mereka yang menciptakan (diri mereka sendiri) ?. Ataukah mereka telah menciptakan langit dan bumi itu ? Sebenarnya mereka tidak menyakini (apa yang mereka katakan)”.

Dan firman ALLAH dalam Surah al-Mu’minun ayat 91 menjelaskan tentang keesaaNya:-

مَا اتَّخَذَ اللهُ مِنْ وَلَدٍ وَمَا كَانَ مَعَهُ مِنْ إِلَهٍ إِذاً لَّذَهَبَ كُلُّ إِلَهِ بِماَ خَلَقَ وَلَعَلاَ بَعْضُهُمْ عَلىَ بَعْضٍ سُبْحَانَ اللهِ عَمَّا يَصِفُوْنَ

“Allah sekalikali tidak mempunyai anak, dan sekali-kali tidak ada tuhan (yang lain) bersertaNya. Kalau ada tuhan bersertaNya, masing-masing (tuhan) akan membawa makhluk yang diciptakanya, dan sebahagian dari tuhan-tuhan itu akan mengalahkan sebahagian yang lain. Maha suci ALLAH dari apa yang mereka sifatkan itu”.

 

b)      Tauhid al-Uluhiyah (al-Ubudiyah) atau dikenali sebagai “Tauhid Iktiqadi Amali” (praktikal) iaitu perbuatan hamba terhadap ALLAH dengan mengesakanNya dalam semua bentuk ibadat atau penyembahan. Firman ALLAH dalam Surah al-Anbiya’ ayat 25 berhubung dengan tuntutan tersebut:-

وَماَ أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ مِنْ رَسُوْلٍ إِلاَّ نُوْحِى إِلَيْهِ أَنَّهُ لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَناَ فَاعْبُدُوْنِ

“Dan Kami tidak mengutus seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya; Bahawasanya tiada Tuhan melainkan AKU, maka sembahlah olehmu sekalian akan AKU”.

Justeru itu, seruan pertama yang disampaikan oleh para nabi dan para rasul kepada kaumnya adalah supaya mengesakan ALLAH dalam melakukan ibadah kerana tujuan utama manusia dan jin dijadikan adalah untuk beribadah kepadaNya. Firman ALLAH dalam Surah al-Zariyat ayat 56:-

وَماَ خَلَقْتُ الْجِنَّ وَاْلإِنْسَ إِلاَّ لِيَعْبُدُوْنِ

“Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu”

Mengakui serta menetapkan keesaan ALLAH dalam beribadah kepadaNya adalah sebagai bukti pengakuan terhadap rububiyah (ketuhan) ALLAH. Justeru itu, setiap individu muslim mesti menyembah ALLAH berpandukan kepada syariat yang telah disampaikan oleh utusanNya serta meninggalkan amalan bida’ah (yang diada-adakan dan bertentangan dengan Islam) dalam penyembahan terhadapNya. Firman ALLAH dalm Surah al-Kahfi ayat 110:-

فَمَنْ كَانَ يَرْجُوْ لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلاً صَالِحاً وَلاَ يُشْرِكْ بِعْباَدَةِ رَبِّهِ اَحَداً

“Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya maka hendaklah ia mengerjakan amal salih dan janganlah ia mempersekutukan sesuatu pun dalam mengerjakan ibadat kepada Tuhannya”.

c)      Mengesakan Nama-Nama Dan Sifat-Sifat ALLAH yang telah ditetapkan olehNya di dalam al-Quran dan yang telah ditetapkan oleh Nabi Muhammad (s.a.w) dengan sewajarnya tanpa menyelewengkan, menafikan (membatalkan), menyamakan atau menyerupakan nama-nama atau sifat-sifat yang selayaknya bagi ALLAH (s.w.t) dengan sesuatu pun. Firman ALLAH dalam Surah al-A’raf ayat 180:-

وَللهِ اْلأَسْمَاءُ الْحُسْنىَ فَادْعُوْهُ بِهاَ وَذَرُوْا الَّذِيْنَ يُلْحِدُوْنَ فِي اَسْمَائِهِ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوْا يَعْمَلُوْنَ

“ALLAH mempunyai asma’ al-husna maka bermohonlah kepadaNya dengan menyebut asma’ al-husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaranya dalam (menyebut) nama-namaNya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan”.

      Perbicangan yang lalu telah menjelaskan tentang pengertian dan tuntutan yang mesti ditunaikan oleh setiap individu muslim terhadap kalimah “ لا إله إلا الله ” (bukan sekadar mengucapkan atau menuturkanya sahaja) untuk membolehkan setiap muslim memperolehi kebaikkan hidup di dunia dan di akhirat.

      Semoga penulisan ini memberi kebaikkan penulis dan pembaca. Sebarang teguran dan komen dari pihak anda di atas setiap penulisan adalah amat dihargai. Terima Kasih.

~ oleh ashabulmuslim di Jun 9, 2008.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: