HIKMAH DALAM MUSIBAH

بسم الله الرحمن الرحيم

       Segala pujian bagi ALLAH. Selawat dan salam ke atas nabi Muhammad (s.a.w), ahli keluarganya, para sahabat dan untuk yang mengikut jejak langkah mereka sehingga hari kiamat.

      Entah beberapa kali penulisan ini tergendala disebabkan oleh kesibukkan yang mesti ditempuhi dan dihadapi semenjak pengumuman kenaikan harga petrol dan diesel dipasaran oleh pemerintah yang tidak mempunyai rasa simpati dan kasihan terhadap nasib rakyat. Semoga mereka sempat meneliti pesanan nabi Muhammad (s.a.w) sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Bukhari dalam Sahihnya:-

عن جرير بن عبد الله قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: لا يرحم الله من لا يرحم الناس

“Dari Jarir bin Abdullah telah berkata: Rasulullah (s.a.w) telah bersabda: “ALLAH tidak merahmati (mengasihani) sesiapa yang tidak merahmati (mengasihani) manusia”.

 

EPISOD KEGAGALAN.

 

      Pelbagai reaksi dipertontonkan oleh rakyat kepada pemerintah sebagai protes terhadap kenaikan harga minyak yang terlampau. Namun hanya boleh diibaratkan seperti “bercakap dengan tunggul kayu” kerana tiada apa-apa perubahan yang diperolehi oleh rakyat melainkan hanya terpaksa menghadapi kenaikkan harga-harga barangan dipasaran.  

       Setelah 50 tahun (hampir mencecah tahun ke 51) masyarakat Malaysia telah bernaung di bawah pemerintahan parti yang berkuasa selama ini dengan mencanangkan atau mewar-warkan kejayaan yang gemilang dari kewujudan menara berkembar Petronas, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Litar Formula One Sepang (SIC) dan Multimedia Super Coridor sehinggalah kelahiran angkasawan pertama negara serta termasuk kawasan wilayah pembangunan koridor yang masih dalam peringkat perancangan dan pembinaan sedangkan pada hakikatnya yang dibina dan dimajukan adalah lambang-lambang atau tugu-tugu kepada kesengsaraan rakyat ataupun hanya sekadar pengindahan panorama negara kerana hampir sebahagian besar masyarakat Malaysia telah kehilangan moral.

       Tanpa disedari atau sengaja melupai, 50 tahun berlalu masyarakat Malaysia khususnya umat Islam hidup tanpa mempraktikan tuntutan agamanya secara sempurna.  Hasilnya segala kejayaan gemilang lagi terbilang terpaksa dibayar dengan perasaan takut, resah, gelisah dan sebagainya terhadap semua keadaan dan suasana. Kini ungkapan “Malaysia Aman dan Makmur” adalah ibarat impian Mat Jenin. Samada di utara, selatan, timur atau barat tanahair terselamatkah rakyat Malaysia dari ancaman rompakan ? pembunuhan ? penculikkan ? penipuan ? rasuah ? dan pelbagai kes-kes jenayah yang lain ?. Selain itu, sesungguhnya ayam (kais pagi makan pagi, kais petang makan petang) lebih bertuah dari sebahagian rakyat yang terpaksa mengikat perut atau berlapar untuk kesenangan orang lain. Bagai kata pepatah rock “Yang Ringan (senang) Jangan Gatai-Gatai Nak Jinjing, Yang Berat Lu Pikul Sendirilah”.

       Meneliti kepada realiti semasa, keseimbangan yang sepatutnya berlaku dalam pembangunan negara samada dari segi politik, pendidikan, ekonomi dan sosial telah tidak berlaku. Justeru itu, Malaysia kini sedang menghadapi pelbagai permasalahan yang seolah-olah tiada jalan penyelesaianya. Sesungguhnya suasana dan keadaan realiti telah membenarkan firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 38:

فَإِمَّا يَأْتِيَنَّكُمْ مِّنِّي هُدًى فَمَنْ تَبِعَ هُدَايَ فَلاَ خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلاَ هُمْ يَحْزَنُوْنَ

“Kemudian jika datang petunjukKU padamu. Maka sesiapa yang mengikuti petunjukKU, sudah pasti tiada kekhuatiran (perasaan takut) dan sedih atas mereka”.

       Firman ALLAH dalam Surah Taha ayat 124:

وَمَنْ اَعْرَضَ عَنْ ذِكْرِى فَإِنَّ لَهُ مَعِيْشَةً ضَنْكاً وَنَحْشُرُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ أَعْمَى

“Dan sesiapa yang berpaling dari peringatanKU, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit. Dan Kami akan menghimpunkanya pada hari kiamat dalam keadaan buta”.

 

HALA TUJU RAKYAT.

 

       Apakah tindakkan yang perlu diambil atau dilaksanakan oleh rakyat Malaysia setelah mereka ditimpa dengan pelbagai bentuk musibah ?

 

Menukar Perdana Menteri ?

       Merupakan jalan penyelesaian jangka pendek kerana dalam tempoh 50 tahun negara Malaysia telah mempunyai 5 orang perdana menteri yang telah memperkenalkan dasar-dasar pentadbiran dan pembangunan yang berbeda-beda antara satu lain tetapi dalam masa yang sama masih tetap mengekalkan ideologi dan prinsip yang sama iaitu prinsip nasionalisme dan kapitalisme sehinggalah terhasilnya kronisme dan akhirnya sebahagian besar rakyat bumi bertuah ini masih berada ditempat dan kedudukan yang sama dalam zaman atau waktu yang berbeda.

 

Menukar Kerajaan.

 

       Menyedari kepada hakikat yang telah berlaku, menukar perdana menteri bagi segala masalah dan kemelut yang dihadapi oleh rakyat Malaysia keseluruhanya adalah perbuatan yang tidak akan memberikan sebarang hasil kerana yang perlu ditukar dan dirombak adalah sistem yang dilaksanakan. Tetapi sekiranya perdana menteri atau penggantinya masih ingin mengekalkan serta meneruskan sistem sedia ada, maka layaklah bagi mereka ditukarkan dengan perdana menteri baharu yang ingin menegakkan serta mengamalkan sistem-sistem Islam dalam pentadbiran dan kehidupan. Setelah 50 tahun…….sokongan terhadap sistem ciptaan Barat dan hasilnya adalah kekecewaan selepas kekecewaan yang ditemui oleh sebahagian besar masyarakat Malaysia.

       Persoalan yang amat sukar diperjelaskan adalah: Mengapa umat Islam tidak mahu atau sukar untuk melaksanakan sistem-sistem Islam dalam pentadbiran dan perundangan ? Dimanakah kelemahan sistem-sistem Islam berbanding dengan sistem-sistem sedia ada atau sistem ciptaan manusia ? Walaupun mereka menyatakan bahawa diri mereka beriman kepada ALLAH, para malaikat, kitab-kitab, para rasul, hari kiamat dan qada’ dan qadar. Benarkah keimanan mereka terhadap ALLAH atau hanya sekadar impian kosong sahaja ?.

       Firman ALLAH dalam Surah al-Nisa’ ayat 123:

لَيْسَ بِأَمَانِيِّكُمْ وَلاَ أَمَانِيَّ أَهْلَ الْكِتاَبِ، مَنْ يَعْمَلْ سُوْء ًا يُجْزَ بِهِ وَلاَ يَجِدْ لَهُ مِنْ دُوْنِ اللهِ وَلِيّاً وَلاَ نَصِيْراً.

(Pahala dari ALLAH) itu bukanlah menurut angan-anganmu yang kosong dan tidak pula menurut angan-angan ahli kitab. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan, nescaya akan diberi pembalasan dengan kejahatan itu dan ia tidak mendapat pelindung dan tidak pula penolong baginya selain dari ALLAH.

 

Hikmah Disebalik Kemelut.

 

       Keterbatasan akal merupakan penghalang utama kepada manusia untuk mengetahui segala hikmah yang telah diciptakan ALLAH. Antara hikmah-hikmah yang mampu diketengahkan oleh penulis adalah seperti berikut:

 

Keinsafan.

       Segala bentuk musibah yang menimpa manusia samada sesuatu musibah itu besar atau kecil adalah bertujuan untuk membolehkan manusia kembali insaf serta menyedari akan kesilapan yang telah dilakukan. Firman ALLAH dalam Surah al-Rum ayat 41:-

ظَهَرَ اْلفَسَادُ فِي اْلبَرِّ وَاْلبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِى النَّاسِ لِيُذِيْقَهُمْ بَعْضَ الَّذِى عَمِلُوْا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُوْنَ

Telah timbul pelbagai kerosakkan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia (timbulnya yang demikian) kerana ALLAH hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan-balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

       Musibah (penyakit sosial, politik, ekonomi-harga minyak-, pendidikan) yang menimpa hari ini adalah balasan terhadap kekufuran (tidak mahu mempraktikan ajaran Islam secara keseluruhan) terhadap nikmat yang ALLAH. Firman ALLAH dalam Surah al-Nahl ayat 112:-

وَضَرَبَ اللهُ مَثَلاً قَرْيَةً كَانَتْ ءَامِنَةً مُّطْمَـئِـنَّةً يَأْتِيْهَا رِزْقُهَا رَغَداً مِنْ كُلِّ مَكَانٍ فَكَفَرَتْ بِأَنْعُمِ اللهِ فَأَذَاقَهَا اللهُ لِبَاسَ الْجُوْعِ وَاْلخَوْفِ بِمَا كَانُوْا يَصْنَعُوْنَ

Dan (berhubung dengan hal kaum yang kufur ingkar) Allah memberikan satu contoh: Sebuah negeri yang aman damai dan tenteram, yang didatangi rezekinya yang mewah dari tiap-tiap tempat, kemudian penduduknya kufur akan nikmat-nikmat Allah itu, maka Allah merasakannya kelaparan dan ketakutan yang meliputi keseluruhannya disebabkan apa yang mereka telah lakukan.

 

Kesedaran.

       Kesedaran adalah bermaksud untuk menggerakan atau mengejutkan kembali para cendiakawan Islam yang telah terleka, terlalai dan terseleweng agar kembali menyeru seluruh manusia ke jalan yang diredhai ALLAH sebelum musibah bertukar menjadi bala bencana yang lebih besar. Firman ALLAH dalam Surah al-Anfal ayat 25:-

وَاتَّقُوْا فِتْنَةً لاَّ تُصِيْبَنَّ الَّذِيْنَ ظَلَمُوْا مِنْكُمْ خَاصَّةً وَاعْلَمُوْا اَنَّ اللهَ شَدِيْدُ اْلعِقَابِ

Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum). Dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksaNya.

Kesabaran.

       Mendidik sifat sabar dan redha terhadap ketentuan ALLAH. Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 155:-

وَلَنَبْلُوَنَّكُمْ بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَاْلجُوْعِ وَنَقْصٍ مِّنَ اْلاَمْوَالِ وَاْلاَنْفَسِ وَالثَّمَرَاتِ، وَبَشِّرِ الصَّابِرِيْنَ

Demi sesungguhnya. Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda, jiwa dan hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

 

Sandaran Harapan.

       50 tahun berlalu, segala sandaran harapan untuk hidup dalam keadaan aman, makmur dan sejahtera hanyalah palsu semata-mata. Cukuplah sekadar realiti kehidupan masa kini menjelaskan dan menceritakan segala apa yang terjadi terhadap harapan yang diimpikan. Kini umat Islam perlu sedar dan mengerti untuk kembali meletakkan sandaran harapan kepada ALLAH kerana Dialah satu-satunya yang mampu menjamin keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan hidup di dunia dan juga di akhirat. Sesungguhnya ALLAH tidak akan memungkiri janji-janjiNya sama sekali. Firman ALLAH dalam Surah al-Ahzab ayat 17:

قُلْ مَنْ ذَا الَّذِي يَعْصِمُكُم مِّنَ اللهِ إِنْ اَرَادَ بِكُمْ سُوْءاً اَوْ أَرَادَ بِكُمْ رَحْمَةً، وَلاَ يَجِدُوْنَ لَهُمْ مِّنْ دُوْنِ اللهِ وَلِيّاً وَلاَ نَصِيْراً

Katakanlah: “Siapakah yang dapat melindungi kamu dari kemurkaan Allah jika Ia mahu menimpakan bala bencana kepada kamu, atau (siapakah yang dapat menahan kemurahan Allah) jika Ia hendak memberikan rahmat kepada kamu? ” Dan (ingatkanlah) mereka (yang munafik) itu: bahawa mereka tidak akan beroleh sesiapapun – yang lain dari Allah – yang akan menjadi pelindung atau penolong mereka.

      Firman ALLAH dalam Surah al-Fatir ayat 2:

ماَ يَفْتَحِ اللهُ لِلناَّسِ مِنْ رَّحْمَةٍ فَلاَ مُمْسِكَ لَهاَ، وَماَ يُمْسِك فَلاَ مُرْسِلَ لَهُ مِنْ بَعْدِهِ وَهُوَ الْعَزِيْزُ الْحَكِيْمُ

Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.

 

Kesimpulan.

       Tiada jalan atau pilihan kedua selain dari kembali menyakini serta mengimani kekuasaan ALLAH dengan cara melaksanakan segala perintah dan dan meninggalkan segala laranganNya untuk kembali memperolehi keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan. Renungilah firman ALLAH dalam Surah al-A’raf ayat 96:

وَلَوْ اَنَّ اَهْلَ اْلقُرَى ءَامَنُوْا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْناَ عَلَيْهِمْ بَرَكاَتٍ مِّنَ السَّماَءِ وَاْلاَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوْا فَأَخَذْنَهُمْ بِمَا كَانُوْا يَكْسِبُوْنَ

Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

~ oleh ashabulmuslim di Jun 30, 2008.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: